Sunday 13 May 2012

WANITA ISLAM DAN PERADABANNYA....BERSIFAT PEMALU.




Salah satu daripada tabiat wanita sebenar adalah pemalu. Pemalu yang dimaksud kan disini ialah sebagaimana yang ditakrifkan oleh ulama: iaitu akhlak mulia yang sentiasa tercetus untuk meninggalkan perkara yang buruk dan menjauhi pengabaian hak bagi orang yang berhak mendapatkannya. Rasulullah s.a.w. merupakan contoh utama bagi seorang yang bersifat pemalu sebagaimana yang telah disifatkan oleh sahabat yang mulia Abu Said al-Khudri: 
Maksudnya: "Rasulullah s.a.w. adalah lebih pemalu daripada anak dara dalam kelambunya, apabila Bagiinda melihat sesuatu yang dibencinya kami mengetahuinya pada riak muka Baginda".
Rasul yang mulia memuji sifat pemalu dalam beberapa hadis yang mulia yang menjelaskan bahawa ia adalah kebaikan sepenuhnya bagi pelakunya dan masyarakat yang hidup di sekitarnya.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Malu itu tidak mendatangkan apa-apa kecuali kebaikan.
Wanita Islam yang benar lagi bertaqwa adalah seorang yang berakhlak, bersih dan perasaannya halus. Tidak terbit daripadanya kata-kata dan perbuatan yang menyakiti manusia ataupun menjatuhkan kemuliaan mereka.
Sifat malu yang terpasak pada tabiatnya yang mulia dengan pemahaman malu menurut Islam dapat menghalangnya daripada setiap penyelewengan dalam hubungannya dengan manusia, bukan kerana malu dan segan kepada mereka sahaja, tetapi  hanya kerana malu kepada Allah Taala. Dia bimbang imannya disaluti kezaliman kerana malu adalah salah satu cabang iman. Ini adalah kedudukan tertinggi yang dicapai oleh wanita yang memiliki sifat malu. Wanita Islam yang bersifat pemalu berbeza dengan wanita barat yang telah menanggalkan semua penutup wajahnya.

No comments:

Post a Comment